Make your own free website on Tripod.com
WADAH XINMIN
Arkib | Tenaga Pengajar Di Xinmin | Faktor X | Mari Belajar Bahasa | Forum Perdana | Kertas Latihan Bahasa | Karya Kreatif | Link Istimewa

Home









Penggunaan Dari dan Daripada.

Kata Sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu atau masa. Ciri ini membezakannya daripada kata sendi nama daripada yang hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda; asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan.
 
Contoh penggunaan dari dalam ayat 
1.  menunjukkan tempat dan arah.
a )  Angin kencang bertiup dari arah selatan.
b)   Bola itu ditolak dari penjuru padang.
c)   Kami akan membincangkan tajuk ini dari segi moral.
d)   Anda datang dari mana ?
e)   Dia merantau dari Kedah hingga ke Kuala Lumpur.
 
2. menunjukkan waktu atau masa :
a)  Berita itu telah disampaikan dari subuh lagi.
b)  Tamadun Islam telah wujud sejak dari zaman lampau.
c)  Dia telah menunggu dari pukul lapan pagi hingga sekarang.
d)  Dari zaman batu lagi, manusia telah mula hidup berdikari.
 
Penggunaan daripada dalam ayat.
1.  menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad.
a)  Dia terima surat itu daripada emaknya di kampung.
b)  Daripada siapakah surat itu diterima ?
c)  Borang permohonan itu boleh didapati daripada pejabat kadi.
d)  Cadangan daripada persatuan itu telah diterima.
e)  Penjaga zoo itu telah mendapat tendangan daripada gajah liar itu.
f)   Dia menjauhkan adiknya daripada bahaya dadah.
 
2.   Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.
a)   Beg itu dibuat daripada kulit.
b)   Air berpunca daripada gabungan hidrogen dan oksigen.
c)   Ahli kumpulan itu terdiri daripada ibu bapa dan guru.
d)   Benang berasal daripada kapas.
 
3.   Menunjukkan perbezaan atau perbandingan.
a)   Dia lebih jelita daripada ibunya.
b)   Cara berfikirnya lain daripada yang lain.
c)   Markah yang diperolehinya hanya separuh daripada yang dijangkakan.
 
Sekarang, anda pasti sudah lebih mengetahui penggunaan Dari dan Daripada yang betul dalam Bahasa Melayu. Cuba latihan di bawah i ni sebagai pengukuhan pengetahuan anda ini.
 
Isikan tempat - tempat kosong dalam ayat- ayat berikut dengan dari atau daripada di mana yang sesuai.
 
1.  Dia tidak berani menonton filem seram semenjak dia pulang _______ tanah perkhuburan itu.
 
2.  Osman menunggu Ali _______ pukul sembilan pagi hingga pukul sebelas.
 
3.   Dia mendapat hadiah __________ seorang wanita ternama.
 
4.   Bukan semua orang yang gemar makanan ___________ negeri Jepun itu.
 
5.   Gigi palsunya dibuat __________ porcelain.
 
6.    Rumah besar itu lebih berselerak _________ pondok kecilnya itu.
 
7.   Perangai Ahmad berbeza _________ perangai adiknya.
 
8.   Suhu tubuhnya meninggkat __________ 37 darjah selsius, kepada 39 darjah.
 
9.   Mereka memulakan kerja pembersihan ________ sudut kanan dewan itu.
 
10.  Ibunya baru sahaja tiba ________ kampung di Malaysia.
 
Latihan B:
Cuba bina 3 ayat kamu sendiri dengan perkataan dari dan daripada.