PERANAN REMAJA DALAM SESEBUAH KELUARGA ITU PENTING DALAM MENYUMBANG KEPADA SEBUAH KELUARGA BAHAGIA.BINCANGKAN.
Keluarga bahagia adalah sebuah keluarga yang tiada banyak masalah dan tiada pertengkaran antara satu sama lain.Keluarga bahagia juga merupakan sebuah keluarga yang sentiasa riang dan menghargai satu sama lain. Ia adalah sebuah keluarga yang penuh dengan kasih-sayang; selalu menyanyangi antara satu sama lain, mempunyai komunikasi dan persefahaman yang baik.
Peranan remaja dalam sesebuah keluarga itu penting dalam menyumbang kepada sebuah keluarga bahagia kerana mereka merupakan anak generasi zaman moden ini. Banyak caranya bagaimana mereka boleh memainkan peranan mereka sebagai anak dalam keluarga itu. Contohnya jika mereka mempunyai adik-beradik, mereka selalu sepatutnya berkongsi barangan atau juga rahsia serta masalah antara satu sama lain. Ini membuat perhubungan mereka begitu erat sekali. Bukan itu sahaja, tetapi mereka juga boleh menolong ibu-bapa mereka dengan menjaga kebersihan rumah serta keselamatan dan disiplin adik-adik mereka. Mereka juga tidak boleh melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Mereka harus belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang.
Remaja yang berdisiplin dan berwibawa, bukan hanya akan menjadi contoh dalam keluarganya, malah mereka juga dapat memainkan peranan mereka dengan lebih mendalam lagi. Contohnya, mereka akan selalu merasakan bahawa diri mereka dapat membantu dalam apa jua yang dipinta keluarga mereka. Ini tidak akan dirasa sebagai beban tetapi sebaliknya sebagai satu cara untuk meringankan tekanan yang dihadapi oleh ahli keluarga yang lain. S
Selain daripada itu, remaja yang sentiasa ceria dapat menjadikan keluarga mereka ceria juga. Acap kali kita dengar bahawa setiap keluarga yang mempunyai anak remaja selalunya akan tertawa dan terhibur dengan gelagat dan idea lucu dari anak remaja itu. Memang sudah menjagi lumrah alam para remaja memang suka berseloroh, bercerita dan bergembira, maka tidak hairanlah jika sebuah keluarga yang mempunyai anak remaja akan sentiasa tidak kering gusi.
Selain dari anak- anak, peranan ibu-bapa juga penting dalam membina sebuah keluarga bahagia kerana mereka harus mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka sama rata supaya anak-anak mereka tidak akan merasa terbiar. Ibu-bapa juga harus mengambil berat ke atas tingkah-laku anak-anak mereka supaya mereka tidak mengikut jalan yang tidak baik sehingga mereka boleh terlibat dalam kegiatan jenayah. Ibu-bapa harus pandai meluangkan masa bersama anak-anak mereka misalnya dengan membawa mereka pergi makan angin sekali-sekala di sesuatu tempat. Mereka juga boleh membawa anak-anak mereka melakukan aktiviti-aktiviti bersama-sama seperti berenang, badminton, golf dan sebagainya. Dengan cara ini, ibu-bapa dapat memahami generasi remaja sekarang dan perhubungan mereka akan bertambah erat lagi. Ini juga akan menyelesaikan masalah jurang generasi. Ibu-bapa juga boleh meluangkan masa mereka untuk kegiatan keagamaan bersama keluarga mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan keagamaan dapat membentuk minda dan tingkah laku sesaorang. Antaranya, mereka boleh mendengar syarahan agama atau melakukan kegiatan kebajikan di masjid masjid yang terdekat.
Di Singapura sekarang ini terdapat banyak aktiviti di kelab masyarakat khas untuk golongan remaja, ibu-bapa dan juga warga tua. Ibu-bapa boleh menyertai aktiviti-aktiviti yang mereka gemari kerana di kelab masyarakat terdapat aktiviti-aktiviti yang berbagai seperti memasak, bersilat, dan juga kursus kursus computer. Dengan melakukan semua aktiviti ini bersama- sama, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada si pelaku, malah mengeratkan lagi perhubungan dan komunikasi di antara ahli keluarga itu sendiri.
Pada keseluruhannya, factor-faktor yang telah dikemukakan ini amat penting untuk membina sebuah keluarga yang bahagia.Namun demikian, ia tidak akan tercapai jika setiap ahli keluarga itu tidak mahu memainkan peranan mereka sebagai sebahagian ahli keluarga itu. Maka pada pendapat saya, sebuah keluarga bahagia bukan payah untuk dicapai tetapi memerlukan kerjasama yang padu bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Hasil Pena
Diyanawati Ab Malik 3N3