JAWATANKUASA Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam untuk menyelaraskan usaha pengagihan dananya tahun ini. Selain bertujuan melicinkan proses pengagihan dan pentadbiran, langkah itu diharap dapat memudahkan para penerima dana agar tidak perlu pergi dari satu badan ke badan yang lain untuk mendapat bantuan itu.
Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, mendedahkan demikian dalam ucapannya di majlis pelancaran dana TAA di Joo Chiat Complex semalam.
Menerangkan dengan lebih lanjut, pengerusi TAA, Haji Wan Hussin Zoohri, berkata pangkalan data itu mengandungi butir-butir para penerima dana TAA tahun lalu yang berjumlah sekitar 4,000 orang.
Menurut Haji Wan Hussin, berdasarkan profil mereka para penerima yang masih layak menerima wang agihan TAA boleh mendapatkan wang itu melalui badan-badan Melayu/Islam berkenaan.
Tetapi pada masa sama, beliau berkata bahawa langkah itu tidak bermakna para penerima dana TAA akan menerima jumlah yang kurang dari tahun-tahun lalu.
'Dengan menyelaraskan usaha ini, maka dana TAA akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan dapat menampung lebih ramai lagi pemohon,' kata Haji Wan Hussin.
Beliau berkata pihaknya menjangka bilangan pemohon dana TAA akan meningkat tahun ini disebabkan oleh keadaan ekonomi yang kurang baik.
dipetik dari cyberita, 20 Oktober 2003.
1 . Mengapakan jawatankuasa TAA akan bersatu dengan badan- badan Melayu/Islam untuk pengihan dana tahun ini ?
2. Mengapakah butir- butir penerima bantuan harus diselaraskan?
3. Adakah jumlah dana yang diterima oleh penerima dana akan berkurangan? Beri dua sebab untuk jawapan anda.
4. Mengapakah jumlah peminta dana dijangkakan akan bertambah tahun ini ?
5. Terangkan maksud perkataan - perkataan di bawah ini.
a. menyelaraskan b. pengagihan c. memudahkan d. pelancaran e. penerima