WADAH XINMIN
Arkib | Tenaga Pengajar Di Xinmin | Faktor X | Mari Belajar Bahasa | Forum Perdana | Kertas Latihan Bahasa | Karya Kreatif | Link Istimewa

Home









Latihan Kefahaman

Di bawah ini terdapat beberapa petikan karangan dan soalan yang boleh anda turunmuatkan untuk mengulangkaji pelajaran anda sebelum peperiksaan. Selamat mencuba !

Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan - soalan yang mengikuti petikan ini.
 
Petikan 1
 
DOKTOR BERSALAH GAGAL SAHKAN AMAH HAMIL

SEORANG doktor didapati bersalah setelah gagal melakukan pemeriksaan perubatan yang cekap ke atas seorang pembantu rumah asing dua tahun lalu. Dr Chong Ah Lek yang bertugas di Aljunied Medical Clinic dikatakan telah gagal mengesahkan bahawa amah itu mengandung meskipun wanita itu sebenarnya mengandung.

Satu kenyataan Majlis Perubatan Singapura (SMC) berkata Jawatankuasa Disiplinnya (DC) mengarahkan Dr Chong membayar saman sebanyak $3,000. Beliau juga diarah untuk mengangkat sumpah agar tidak mengulangi kesalahan serupa.

SMC telah mengadakan satu perbicaraan 16 September lalu ke atas Dr Chong. Menurut kenyataan tersebut, Dr Chong mengaku bersalah kerana tidak melakukan tugasnya secara profesional dengan mengesahkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bahawa ujian kandungan ke atas wanita itu negatif.

'Sebenarnya beliau mengandung dan berdasarkan fakta-fakta tersebut, beliau didapati bersalah kerana gagal bersikap profesional,' kata kenyataan tersebut lagi.Menurut kenyataan tersebut, Dr Chong telah melakukan pemeriksaan perut semasa wanita itu sedang duduk dan bukan dalam keadaan terlentang.

Beliau juga dikatakan gagal mendapatkan sejarah haid wanita itu. Beliau diarah membayar kos perbicaraan. Semasa dihubungi, seorang jurucakap SMC berkata pihaknya difahamkan wanita itu telah dihantar pulang ke Indonesia selepas melahirkan anaknya pada 1 Jun tahun lalu.

( dipetik dan diubahsuai dari Cyberita, 8hb Oct 2003)

1.  Mengapakah doktor itu didapati bersalah ?

2.  Apakah keputusan SMC terhadap tindakan Dr Cheong dan apakah pula dendanya ?

3.  Mengapakah Dr Cheong tidak mendapati amah itu mengandung ?

4. Pada pendapat kamu, adakah denda yang dikenakan kepada doktor ini setimpal ? Mengapa ?

5. Bina ayat kamu sendiri dengan  frasa - frasa ini dengan perkataan kamu sendiri.

    a) berdasarkan fakta- fakta tersebut

    b) tidak mengulangi kesalahan

 
 
 
 

Petikan 2
 
CHANGI TERIMA ENAM ANUGERAH DALAM SEBULAN

LAPANGAN Terbang Changi terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia menerima enam anugerah dalam masa sebulan baru-baru ini.Sejauh ini, lapangan terbang itu telah menerima 12 anugerah tahun ini.

Antara anugerah terbaru itu ialah Anugerah Lapangan Terbang Terbaik yang disampaikan Anugerah Pelancongan Telegraph 2003.Anugerah itu berdasarkan tinjauan tahunan oleh Daily Telegraph - yang merupakan antara akhbar utama di Britain - dan disampaikan dalam satu majlis di London kelmarin.

Selain itu, para pembaca majalah Business Traveller keluaran United Kingdom/Eropah juga memilih Lapangan Terbang Changi sebagai lapangan terbang terbaik dalam satu tinjauan.Ini kali ke-16 lapangan itu menerima anugerah tersebut berturut-turut.

Para pembaca majalah itu turut memilih lapangan tersebut sebagai yang terbaik bagi kegiatan membeli-belah bebas cukai buat kali keempat.Kedua-dua anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di London pada 23 September lalu.

Pembaca majalah Business Traveller edisi Asia-Pasifik turut mengundi Lapangan Terbang Changi bagi dua anugerah - lapangan terbang terbaik dan lapangan terbang terbaik bebas cukai.Penguasa Lapangan Terbang Changi (CAAS) menerima kedua-dua anugerah itu dalam satu majlis di Hongkong pada 19 September.

Pada 16 September lalu pula, lapangan itu menerima satu lagi anugerah sebagai lapangan terbaik daripada majalah Wanderlust yang berpangkalan di United Kingdom.

(dipetik dan diubahsuai daripada Cyberita 8hb Okt 2003)
 
Jawab soalan - soalan di bawah ini:
 
1. Berapa banyakkah anugerah yang diterima Lapangan terbang Changi pada tahun ini ?
 
2. Pada pendapat kamu, mengapakan The Daily Telegraph merupakan salah satu akhbar utama di Britain ?
 
3. Namakan tiga anugerah- anugerah yang dimenangi ?
 
4. Pada pendapat kamu, adakah anugerah- anugerah yang diterima Changi ini setimpal?
 
5. Terangkan maksud perkataan - perkataan ini:
a) pengiktirafan
b) anugerah
c) berlangsung
d) berpangkalan